Tuesday, 12 September 2017

BERCUTI DI SEOUL

Agak lama tak menulis kat sini. Entri kali ni, seperti yang dijanjikan sebelum ini, nak review berkaitan dengan Seoul dan perkara-perkara yang menarik dan mana tempat nak pergi bila plan nak ke sana.  Semoga perkongsian ini dapat membantu dan menjadi panduan bersama....

SEOUL DAN KOREA

Ramai yang ingin untuk menjejakkan kaki ke negara yang terkenal dengan makanan yang dipanggil kimchi ini. Pengalaman menjejakkan kaki ke bumi Seoul sebanyak 2 kali menjadi pengalaman yang amat berguna kerana Korea bukan saja sebuah negara yang pesat membangun tetapi amat menitikberatkan nilai-nilai dalam kehidupan seharian mereka.



Korea dan Seoul terutamanya semakin menjadi pilihan pelancong dari Malaysia saban hari. Setiap tahun dianggarkan lebih 200,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi Korea. Jumlah ini dijangka akan bertambah saban tahun disebabkan populariti Korea yang semakin menjadi pilihan pelancong yang juga terkenal sebagai Negara Muslim-Friendly yang  amat mengalu-alukan kedatangan pelacong termasuk pelancong Islam ke negara mereka.




PENGANGKUTAN DI SEOUL

Kemudahan pengangkutan secara terus ke Korea merupakan faktor utama kenapa ramai pelancong Malaysia mengunjungi negara tersebut. Buat masa sekarang terdapat beberapa penerbangan terus dari Kuala Lumpur – Seoul – Kuala Lumpur dan Kuala Lumpur – Busan – Kuala Lumpur oleh Malaysia Airlines (MAS), Air Asia dan juga Korean Air. Terdapat juga penerbangan terus Seoul – Kota Kinabalu - Seoul oleh Jeju Air, Eastar Jet dan JIN Air menambah dan merancakkan lagi industri pelancongan kedua-dua negara.


Kadar tambang yang berpatutan dan mampu beli yang ditawarkan syarikat-syarikat penerbangan ini merancakkan lagi industri plancongan ke dua-dua negara antara Malaysia dan Korea.  Perkembangan ini secara tidak langsung mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.


Menariknya, pengangkutan semasa berada di Korea sendiri amat mudah dan praktikal. Ini kerana banyak pengangkutan awam yang disediakan dan kekerapan perkhidmatan kemudahan awam ini amat mudah untuk digunakan. Merujuk kepada Seoul TOPIS, dianggarkan lebih 7,500 buah bas beroperasi di Seoul. Ia menghubungkan keseluruhan bandar raya Seoul dan sekitarnya. Manakala perkhidmatan teksi pula lebih daripada 72,000 buah beroperasi setiap hari dengan harga yang berpatutan dan perkhidmatan yang memuaskan serta cepat. Satu lagi pengangkutan awam yang popular di Seoul ialah subway yang beroperasi dengan 9 lines dengan kadar panjang keseluruhan lebih 300 kilometer. Ini merupakan pengangkutan yang seringkali menjadi pilihan pengunjung dan masyarakat di Seoul untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di sekitar Seoul.







NEGARA 4 MUSIM

Bagi mereka yang ingin ke Korea boleh membuat pilihan sama ada mahu berkunjung pada musim sejuk (winter), bunga (spring), panas (summer), dan luruh (autumn). Kedatangan pelancong dari kedua-dua buahnegara ini amat baik bagi mempromosikan sosio-budaya kedua-dua negara dan juga membantu dalam peningkatan ekonomi negara masing-masing. Setiap musim mungkin mengalami pengalaman yang berbeza bagi setiap pengunjung.



Musim sejuk (winter) di Korea bermula pada pertengahan bulan Disember sehingga awal bulan Mac dengan suhu antara -15ºC hingga 5ºC.  Masa ini perlu menggunakan jaket dan baju sejuk yang tebal untuk mengelakkan kesejukan yang melampau yang boleh membuatkan badan menggeletar. Musim bunga (Spring) pula bermula pada pertengahan bulan Mac sehingga awal bulan Mei dengan suhu 10ºC hingga 25ºC. Musim bunga merupakan tempoh bunga-bunga berkembang dengan mekar dengan cantik terutama di taman-taman. Bagi penggemar bunga sakura ini merupakan peluang untuk melihat dengan dekat bunga tersebut.



Bagi musim panas tidak banyak beza dengan Malaysia dengan suhu antara 25ºC hingga 35ºC yang bermula pada pertengahan bulan Mei sehingga pertengahan bulan September. Waktu solat Subuh akan masuk seawal jam 3.00 pagi dan Maghrib pula masuk lewat sekitar jam 8.00 malam. Ini kerana pada musim panas waktu siang adalah lebih panjang dan waktu malam adalah pendek.Biasanya musim panas merupakan musim untuk masyarakat di Korea bercuti dan berlibur. Musim luruh (Autumn) pula bermula pada awal bulan Oktober sehingga awal bulan Disember dengan suhu antara 5ºC hingga 15ºC. Pada musim luruh ini, daun-daun pokok akan berubah menjadi kuning, merah dan oren (foliage). Penggemar fotografi biasanya gemar berkunjung ke Korea pada musim ini kerana kecantikan pemandangan yang mengasyikan.

MAKANAN HALAL DI KOREA

Bagi setiap  pelancong, makanan merupakan keperluan utama yang difikirkan sebelum pergi ke sesuatu tempat. Tetapi jika ke Korea tidak perlu risau kerana terdapat banyak restoran dan makanan halal yang boleh diperolehi secara mudah. Ini disebabkan peningkatan kehadiran pelancong Islam dari pelbagai negara ke Korea.


Di Seoul sahaja sesetengah makanan halal boleh didapati di kedai-kedai serbaneka dan sabagai pelancong terutama Islam perlulah membuat pilihan yang betul dan terbaik. Ada kalangan pelancong yang lebih senang membawa bekalan makanan dari Malaysia  sepanjang berada di Korea.


Restoran dan makanan halal paling banyak boleh diperolehi di Itaewon. Ini kerana Itaewon menjadi sebahagian besar penempatan warga asing terutamanya komuniti Islam dan menjadi destinasi wajib bagi setiap pengunjung.  Sebagai tambahan pelancong boleh memuat turun aplikasi “HalalKorea for Muslim” yang dibangunkan sebagai panduan untuk mencari dan mendapatkan tempat makan halal di Korea.





Untuk makluman juga, ramai rakyat Malaysia yang berada di Seoul pada satu-satu masa sama ada sebagai pelancong, pelajar mahupun mereka yang menetap dan bekerja di sana. Malah terdapat Kedutaan Besar Malaysia yang beroperasi di Seoul yang menjadi rujukan dan panduan sepanjang berada di sana. Bagi mereka yang mempunyai saudara atau rakan yang tinggal di sana bolehmendapatkan maklumat awal berkenaan tempat-tempat yang hendak dikunjungi sebagai panduan untuk merancang perjalanan. Boleh juga dapatkan maklumat yang berkaitan di media sosial.


PENGINAPAN  DI SEOUL

Bagi pelancong yang ingin berkunjung ke Seoul buat pertama kali jangan risau nak tinggal di mana. Dengan tawaran penginapan yang pelbagi menjadikan pemilihan tempat tinggal dengan lebih mudah yang boleh ditempah dengan pelbagai cara. Seeloknya buat tempahan awal dari Malaysia untuk mengelakkan sebarang kesulitan.

Pemilihan penginapan di Seoul bergantung kepada individu. Terdapat beberapa jenis penginapan yang boleh didapati seperti hotel, guesthouse dan hostel. Terdapat banyak hotel yang terdapat di Seoul. Kebiasaannya penginapan di hotel disertakan dengan sarapan pagi dengan kadar bayaran 150,000 won ke atas.

Hotel amat sesuai untuk mereka yang mempunyai urusan perniagaan dan mereka yang berkeluarga. Jangan terkejut dan pelik jika terdapat hotel yang menyediakan bilik yang agak kecil dari yang dijangkakan. Sebelum membuat tempahan perlulah selidik dahulu hotel yang hendak ditempah untuk memastikan hotel yang ditempah mengikut citarasa dan kehendak kita.



Guesthouse merupakan  antara penginapan yang banyak menjadi pilihan pelancong kerana ada antara guesthouse yang menyediakan kemudahan yang lengkap beserta sarapan. Sesetengah guesthouse menyediakan tandas dan bilik air di dalam bilik tidur dan ada juga yang menyediakan tandas dan bilik air di luar dan berkongsi dengan penghuni lain. Sesuai untuk mereka yang berkeluarga dan backpacker yang sukakan privasi dengan anggaran harga 60,000 won ke atas. Penginapan jenis hostel juga banyak disediakan yang berbentuk asrama satu bilik dengan beberapa katil. Kebiasaannya tandas dan bilik air berada di luar dan berkongsi dengan penghuni yang lain. Kadar sewaan yang murah serendah 20,000 won dan sesuai untuk backpacker dan orang bujang yang sukakan adventure.



TEMPAT SOLAT DI SEOUL

Bagi yang beragama Islam pula, jangan risau tempat untuk malaksanakan solat. Ini kerana terdapat masjid, surau ataupun ruang solat yang disediakan di beberapa tempat kunjungan dan tumpuan pelancong. Antara masjid yang terdapat di Korea ialah Seoul Central Mosque, Gyeonggi-do / Paju Mosque, Bupyeong Mosque, Anyang Mosque, Ansan Mosque, Gwangju Mosque, Jeonju Mosque, Busan Mosque, Macheon-Geoyeo Centre, Suwon Center, Jeju Center Daegu Center dan Gwangju Center.  Manakala tempat solat atau surau disediakan di Korea Tourism Organization (KTO), COEX Mall, Incheon International Airport, Everland, Skinanniversary Beauty Town, Woongjin Playdoci, Korean Folk Village, Pulau Nami, Nami-OK Halal Dakgalbi Restaurant dan Daegu Inter-Burgo Hotel.


Selain itu, terdapat tempat-tempat awam yang boleh dijadikan tempat solat seperti bilik persalinan baju, bilik menyusu, tangga dan taman awam. Walaubagaimanapun, perlu berhati-hati dan digalakkan solat secara berdua di sesetengah tempat untuk mengelakkan sebarang syak. Untuk solat di taman tiada masalah kerana tempat tumpuan awam dan saya sendiri pernah  solat di taman di bawah pokok. Tempat solat ini sangat membantu dan memudahkan lagi perjalanan bagi mereka yang beragama Islam untuk memunaikan solat sepanjang berada di Seoul.



TARIKAN DI SEOUL

Kunjungan ke Seoul tidak mungkin akan sempurna sekiranya kita tidak pergi ke tempat-tempat yang menjadi daya tarikan kepada pengunjung. Terdapat beberapa lokasi yang menjadi pilihan untuk dikunjungi di Seoul. Setiap tempat mempunyai tarikan dan keunikan yang tersendiri dan mempunyai keistimewaan yang berbeza. Antara tempat yang sering menjadi pilihan pelancong ialah:

            1. Itaewon Street
Seperti yang saya ceritakan sebelum ini, Itaewon Street merupakan salah satu tempat yang mudah untuk mendapatkan makanan halal kerana ramai komuniti Islam yang tinggal di sini. Banyak restoran dan kafe halal yang diusahakan oleh warga asing terutamanya dari negara Timur Tengah. Di sini juga terdapatnya Seoul Central Mosque yang menjadi mercu tanda Itaewon. Persekitaran kawasan yang agak berbukit dengan pemandangan yang menarik menjadikan Itaewon sebagai lokasi pilihan pelancong.Antara restauran dan tempat makan yang ada di Itaewon ialah Bombaygrill, Mr Kebab, Kervan Turkish Restaurant, Siti Sarah, Eid (Halal Korean Food), Salam Bakery dan Pasha Kebab Shop.




2.  Myeongdong
Myeongdong juga dikenali sebagai syurga kosmetik. Dipenuhi dengan kedai-kedai kosmetik, pakaian berjenama dan kedai-kedai eksesori. Tempat ini merupakan tempat yang paling banyak dikunjungi dengan anggaran 150,000 orang setiap hari. Bagi pengunjung wanita ini merupakan tempat wajib pergi bagi mendapatkan kosmetik dengan harga yang amat berpatutan dengan pelbagai pilihan yang disediakan.






3.  Dongdaemun
Salah satu tempat yang popular dan menjadi pilihan pelancong di Seoul ialah Dongdaemun. Dianggarkan lebih 2000 kedai yang menjual pelbagai barangan terdapat di sini dengan harga yang murah dan secara borong. Terdapat banyak pusat membeli belah yang beroperasi sehingga 4.30 pagi. Antara pusat beli belah yang terdapat di sini ialah Gwangjang Market, Pyounghwa Fashion Town, Dongdaemun Shopping Complex, Doota, Migliore, Hello apM, Fashion MallU:US dan Goodmorning City.





4.  Namdaemun Market
Namdaemun Market merupakan salah satu pasar yang tertua dan terbesar di Korea. Banyak kedai  yang menjual pelbagai jenis barangan, peralatan rumah dan juga makanan di sepanjang lorong di Namdaemun Market. Harga yang murah dan berpatutan menjadikan Namdaemun Market sebagai pilihan destinasi membeli belah. Sekiranya anda boleh berbahasa Korea, kelebihan mungkin memihak kepada anda untuk mendapatkan potongan harga bagi barang yang ditawarkan.



5.  Namsan Hanok Village
Namsan Hanok Village juga merupakan salah satu tempat wajib yang menjadi pilihan pelancong. Binaan penuh dengan keunikan tradisional Korea yang menampilkan gaya klasik pada zaman Dinasti Joseon.Di sini pengunjung boleh mempelajari budaya dengan lebih dekat lagi seperti belajar kaligrafi Korea, membuat cenderamata Korea dan mencuba Hanbok iaitu pakaian tradisional Korea.







6.  Namsan Seoul Tower
Namsan Seoul Tower yang berketinggian 236.7 meter merupakan 10 bangunan tertinggi di dunia. Menikmati permandangan Bandaraya Seoul dari puncak Namsan Tower menyebabkan ia menjadi salah satu tempat yang romantik di Seoul. Pengunjung boleh memilih untuk menggunakan kereta kabel, bas mahupun berjalan kaki ke puncak Namsan. Kalau nak adventure boleh cuba berjalan kaki ke puncak pada sebelah malam dengan pemandangan kotaraya Seoul yang cantik.





7.  Cheonggyecheon Stream
Cheonggycheon Stream merupakan salah satu lokasi yang polular di Seoul. Bagi penduduk setempat, Cheonggecheon menjadi tempat untuk beriadah dan melepaskan penat setelah seharian bekerja. Siapa sangka sungai yang pernah tenggelam dan hilang dibumi Seoul suatu ketika dulu telah dibangunkan semula dan menjadi antara daya tarikan utama di Seoul.



8.  Gyeongbukgung Palace
Gyeongbukgung Palace dibina pada tahun 1395 dan merupakan istana utama Denasti Jaseon selama 500 tahun. Berlatarbelakangkan gunung-ganang dan berada di tengah-tengah Bandaraya Seoul menjadikannya sebagai antara tempat yang paling ramai pengunjung pada setiap hari. Belakang Gyeongbukgung Palace ialah Blue House iaitu kediaman rasmi Presiden Korea Selatan.





9.  Gwaghwamun Square
Gwanghwamun Square terletak di Sejong-ro dibina pada tahun 2009. Ikon utama di sini ialah 2 patung sejarah iaitu ‘King Seajong The Great’ dan ‘Laksamana Yi Shun-Shin’. Banyak aktiviti yang diadakan di dataran sepanjang 550 meter ini yang menjadikannya sebagai pusat tumpuan pelancong. Dataran ini dikelilingi bangunan-bangunan pejabat kerajaan dan swasta ditambah dengan pemandangan yang cantik hingga ke ‘Gyeongbukgung Palace’.



10. Pulau Nami
Pulau Nami antara tempat yang paling dikenali dikalangan pelancong Malaysia malah dari serata dunia ke Korea. Ini kerana pulau buatan ini menjadi lokasi dan pusat penggambaran drama Winter Sonata yang pernah menjadi kegilaan ramai termasuk di Malaysia suatu ketika dahulu.



MAKANAN KOREA

Agak janggal jika kita berkunjung ke Korea tetapi tidak merasai keenakan dan kenikmatan makanannya. Maka jangan lepaskan peluang untuk merasai kepelbagaian makanan dan masakan korea. Korea terkenal dengan makan traditionalnya dan saya sempat mencuba beberapa jenis makanan yang akan saya kongsi bersama untuk tatapan bersama. Jangan terkejut dengan masakan Korea yang agak pedas dari biasa jika dibandingkan dengan masakan di Malaysia.

1.         KIMCHI
Kimchi merupakan makanan khas Korea yang dibuat daripada pelbagai jenis sayuran yang diperam dengan ramuan khas dan biasanya mempunyai rasa pedas dan masam. Antara sayur yang biasa digunakan ialah sawi, lobak atau timun. Sementara untuk ramuan yang digunakan ialah cili, bawang besar, bawang putih, pes udang dan sos ikan khas. Kimchi biasanya di buat dalam jumlah yang banyak kerana ianya tahan lama jika disimpan dengan baik. Hampir semua tempat makan tidak kira di restoran besar, kecil ataupun di rumah akan menyajikan kimchi sebagai hidangan kerana kimchi bukan sekadar makanan traditional malah menjadi ikon terpenting dalam kulinari dan kebudayaan Korea.


2.         KIMBAP
Kimbap (Gimbab) juga merupakan salah satu makanan khas Korea yang dibuat daripada nasi putih, dalam bahasa Korea dipanggil Bap dan isinya berupa potongan ikan, daging, telur dan sayuran yang digulung dengan rupai laut kering (seaweed) dalam bahasa Korea Gim. Kemudian dipotong kecil untuk kesesuaiaan sekali makan (suap).Kebiasaannya satu Kimbab boleh menjadi 6-8 potong. Sayuran yang biasa digunakan ialah timun, bayam dan acar lobak dan nasinya biasa ditambah perasa seperti garam dan minyak bijan.




3.         BIBIMBAB
Satu lagi makanan Korea yang namanya seakan-akan Kimbab ialah Bibimbab. Bibimbab merupakan nasi campur ala Korea yang dibuat daripada nasi putih dan aneka lauk dan sayuran serta sos sambal khas. Untuk sajian, Bibimbab disajikan di dalam mangkuk dan lauk dan sayuran disusun di sebelah atas nasi agar kelihatan cantik dan menarik sebelum digaul untuk dimakan. Biasanya Bibimbab disajikan di dalam mangkuk panas (hot plate) dengan telur kuning diletakkan ditengah-tengah lauk atau sayuran.




4.         JAPCHEA / CHAPCHEA
Japchea atau Chapchea  adalah masakan Korea yang diperbuat daripada mee tepung ubi (seakan beehoon) yang ditumis bersama aneka sayuran seperti bayam, lobak merah atau cendawan kering yang dihiris hipis dan panjang dicampur dengan kicap dan gula. Japchea biasa dihidangkan bersama cili dan biji bijan.


5.         TTEOK
Tteok atau kuih beras merupakan satu lagi makanan tradisi Korea yang di buat menggunakan tepung beras pulut yang di masak dengan cara dikukus, direbus ataupun digoreng. Selain tepung beras pulut, tepung beras biasa juga boleh digunakan dan biasanya dihidangkan semasa perayaan. Inti Tteok juga pelbagai dan biasanya menggunakan kacang hijau, kacang merah dan juga gula.




6.         GODEUNGOO-GUI
Godeungoo-gui merupakan ikan mackerel panggang yang diperap dengan garam, minyak sayuran dan juga sedikit tepung (jika perlu). Godeungoo-gui merupakan makanan yang popular di Korea dan menjadi satu kemestian untuk mencuba bila berkunjung ke sana. Kebanyakan restoran di Korea menyajikan Godeungoo-gui kepada pengunjung dengan harga yang berpatutan.



Tips: Sebagai seorang pelancong mahupun traveler, kita perlu membuat perancangan yang rapi dan sebaik mungkin bagi memastikan percutian yang kita buat dapat dinikmati dengan sebaik mungkin. Bukan sahaja melancong tetapi mempelajari budaya yang kehidupan di tempat orang lain sebagai pengalaman bersama. 




Artikel ini pernah disiarkan di Majalah Backpackerz Vol. 12 yang lalu. Next entry nak cita sikit pasal Pekan, Pahang..........