Agak lama tak menulis kat sini. Entri kali ni, seperti yang dijanjikan sebelum ini, nak review berkaitan dengan Seoul dan perkara-perkara yang menarik dan mana tempat nak pergi bila plan nak ke sana. Semoga perkongsian ini dapat membantu dan menjadi panduan bersama....
SEOUL DAN KOREA
Ramai
yang ingin untuk menjejakkan kaki ke negara yang terkenal dengan makanan yang
dipanggil kimchi ini. Pengalaman menjejakkan
kaki ke bumi Seoul sebanyak 2 kali menjadi pengalaman yang amat berguna kerana
Korea bukan saja sebuah negara yang pesat membangun tetapi amat menitikberatkan
nilai-nilai dalam kehidupan seharian mereka.
Korea
dan Seoul terutamanya semakin
menjadi pilihan pelancong dari Malaysia saban hari. Setiap tahun dianggarkan
lebih 200,000 pelancong dari Malaysia mengunjungi Korea. Jumlah ini dijangka
akan bertambah saban tahun disebabkan populariti Korea yang semakin menjadi
pilihan pelancong yang juga terkenal sebagai Negara Muslim-Friendly yang amat
mengalu-alukan kedatangan pelacong termasuk pelancong Islam ke negara mereka.
PENGANGKUTAN DI SEOUL
Kemudahan
pengangkutan secara terus ke Korea merupakan faktor utama kenapa ramai
pelancong Malaysia mengunjungi negara tersebut. Buat masa sekarang terdapat
beberapa penerbangan terus dari Kuala Lumpur – Seoul – Kuala Lumpur dan Kuala
Lumpur – Busan – Kuala Lumpur oleh Malaysia Airlines (MAS), Air Asia dan
juga Korean Air. Terdapat juga penerbangan terus Seoul – Kota Kinabalu - Seoul
oleh Jeju Air, Eastar Jet dan JIN Air menambah dan merancakkan lagi industri pelancongan kedua-dua negara.
Kadar tambang
yang berpatutan dan mampu beli yang ditawarkan syarikat-syarikat penerbangan
ini merancakkan lagi industri plancongan ke dua-dua negara antara Malaysia dan
Korea. Perkembangan ini secara tidak langsung
mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara.
Menariknya,
pengangkutan semasa berada di Korea sendiri amat mudah dan praktikal. Ini
kerana banyak pengangkutan awam yang disediakan dan kekerapan perkhidmatan
kemudahan awam ini amat mudah untuk digunakan. Merujuk kepada Seoul TOPIS,
dianggarkan lebih 7,500 buah bas beroperasi di Seoul. Ia menghubungkan
keseluruhan bandar raya Seoul dan sekitarnya. Manakala perkhidmatan teksi pula
lebih daripada 72,000 buah beroperasi setiap hari dengan harga yang berpatutan
dan perkhidmatan yang memuaskan serta cepat. Satu lagi pengangkutan awam yang
popular di Seoul ialah subway yang
beroperasi dengan 9 lines dengan
kadar panjang keseluruhan lebih 300 kilometer. Ini
merupakan pengangkutan yang seringkali menjadi pilihan pengunjung dan
masyarakat di Seoul untuk bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain di
sekitar Seoul.
NEGARA 4 MUSIM
Bagi mereka
yang ingin ke Korea boleh membuat pilihan sama ada mahu berkunjung pada musim
sejuk (winter), bunga (spring), panas (summer), dan luruh (autumn). Kedatangan
pelancong dari kedua-dua buahnegara ini amat baik bagi mempromosikan sosio-budaya
kedua-dua negara dan juga membantu dalam peningkatan ekonomi negara masing-masing.
Setiap musim mungkin mengalami pengalaman yang berbeza bagi setiap pengunjung.
Musim sejuk
(winter) di Korea bermula pada pertengahan bulan Disember sehingga awal bulan
Mac dengan suhu antara -15ºC hingga 5ºC.
Masa ini perlu menggunakan jaket dan baju sejuk yang tebal untuk
mengelakkan kesejukan yang melampau yang boleh membuatkan badan menggeletar.
Musim bunga (Spring) pula bermula pada pertengahan bulan Mac sehingga awal
bulan Mei dengan suhu 10ºC hingga 25ºC. Musim bunga merupakan tempoh
bunga-bunga berkembang dengan mekar dengan cantik terutama di taman-taman. Bagi
penggemar bunga sakura ini merupakan peluang untuk melihat dengan dekat bunga
tersebut.
Bagi musim
panas tidak banyak beza dengan Malaysia dengan suhu antara 25ºC hingga 35ºC
yang bermula pada pertengahan bulan Mei sehingga pertengahan bulan September.
Waktu solat Subuh akan masuk seawal jam 3.00 pagi dan Maghrib pula masuk lewat
sekitar jam 8.00 malam. Ini kerana pada musim panas waktu siang adalah lebih
panjang dan waktu malam adalah pendek.Biasanya musim panas merupakan musim
untuk masyarakat di Korea bercuti dan berlibur. Musim luruh (Autumn) pula
bermula pada awal bulan Oktober sehingga awal bulan Disember dengan suhu antara
5ºC hingga 15ºC. Pada musim luruh ini, daun-daun pokok akan berubah menjadi
kuning, merah dan oren (foliage).
Penggemar fotografi biasanya gemar berkunjung ke Korea pada musim ini kerana
kecantikan pemandangan yang mengasyikan.
MAKANAN HALAL DI KOREA
Bagi setiap pelancong, makanan merupakan keperluan utama
yang difikirkan sebelum pergi ke sesuatu tempat. Tetapi jika ke Korea tidak
perlu risau kerana terdapat banyak restoran dan makanan halal yang boleh diperolehi
secara mudah. Ini disebabkan peningkatan kehadiran pelancong Islam dari
pelbagai negara ke Korea.
Di
Seoul sahaja sesetengah makanan halal boleh didapati di kedai-kedai serbaneka
dan sabagai pelancong terutama Islam perlulah membuat pilihan yang betul dan
terbaik. Ada kalangan pelancong yang lebih senang membawa bekalan makanan dari
Malaysia sepanjang berada di Korea.
Restoran dan
makanan halal paling banyak boleh diperolehi di Itaewon. Ini kerana Itaewon menjadi sebahagian besar penempatan
warga asing terutamanya komuniti Islam dan menjadi destinasi wajib bagi setiap
pengunjung. Sebagai tambahan pelancong
boleh memuat turun aplikasi “HalalKorea for Muslim” yang dibangunkan sebagai
panduan untuk mencari dan mendapatkan tempat makan halal di Korea.
PENGINAPAN DI SEOUL
Bagi pelancong yang ingin berkunjung ke Seoul buat pertama kali jangan
risau nak tinggal di mana. Dengan tawaran penginapan
yang pelbagi menjadikan pemilihan tempat tinggal dengan lebih mudah yang boleh
ditempah dengan pelbagai cara. Seeloknya buat tempahan awal dari Malaysia untuk
mengelakkan sebarang kesulitan.
Pemilihan penginapan di Seoul bergantung kepada individu. Terdapat
beberapa jenis penginapan yang boleh didapati seperti hotel, guesthouse dan
hostel. Terdapat banyak hotel yang terdapat di Seoul. Kebiasaannya penginapan
di hotel disertakan dengan sarapan pagi dengan kadar bayaran 150,000 won ke
atas.
Hotel amat sesuai untuk mereka yang mempunyai urusan perniagaan dan mereka
yang berkeluarga. Jangan terkejut dan pelik jika terdapat hotel yang menyediakan
bilik yang agak kecil dari yang dijangkakan. Sebelum membuat tempahan perlulah selidik
dahulu hotel yang hendak ditempah untuk memastikan hotel yang ditempah mengikut
citarasa dan kehendak kita.
Guesthouse merupakan antara
penginapan yang banyak menjadi pilihan pelancong kerana ada antara guesthouse
yang menyediakan kemudahan yang lengkap beserta sarapan. Sesetengah guesthouse
menyediakan tandas dan bilik air di dalam bilik tidur dan ada juga yang
menyediakan tandas dan bilik air di luar dan berkongsi dengan penghuni lain.
Sesuai untuk mereka yang berkeluarga dan backpacker yang sukakan privasi dengan
anggaran harga 60,000 won ke atas. Penginapan jenis hostel juga banyak
disediakan yang berbentuk asrama satu bilik dengan beberapa katil. Kebiasaannya
tandas dan bilik air berada di luar dan berkongsi dengan penghuni yang lain.
Kadar sewaan yang murah serendah 20,000 won dan sesuai untuk backpacker dan
orang bujang yang sukakan adventure.
TEMPAT SOLAT
DI SEOUL
Bagi yang beragama Islam pula, jangan risau tempat untuk malaksanakan
solat. Ini kerana terdapat masjid, surau ataupun ruang solat yang disediakan di
beberapa tempat kunjungan dan tumpuan pelancong. Antara masjid yang terdapat di
Korea ialah Seoul Central Mosque, Gyeonggi-do / Paju Mosque, Bupyeong Mosque,
Anyang Mosque, Ansan Mosque, Gwangju Mosque, Jeonju Mosque, Busan Mosque,
Macheon-Geoyeo Centre, Suwon Center, Jeju Center Daegu Center dan Gwangju
Center. Manakala tempat solat atau surau
disediakan di Korea Tourism Organization (KTO), COEX Mall, Incheon
International Airport, Everland, Skinanniversary Beauty Town, Woongjin Playdoci,
Korean Folk Village, Pulau Nami, Nami-OK Halal Dakgalbi Restaurant dan Daegu
Inter-Burgo Hotel.
Selain itu, terdapat tempat-tempat awam yang boleh dijadikan tempat solat
seperti bilik persalinan baju, bilik menyusu, tangga dan taman awam. Walaubagaimanapun,
perlu berhati-hati dan digalakkan solat secara berdua di sesetengah tempat
untuk mengelakkan sebarang syak. Untuk solat di taman tiada masalah kerana
tempat tumpuan awam dan saya sendiri pernah solat di taman di bawah pokok. Tempat solat
ini sangat membantu dan memudahkan lagi perjalanan bagi mereka yang beragama
Islam untuk memunaikan solat sepanjang berada di Seoul.
TARIKAN DI SEOUL
Kunjungan
ke Seoul tidak mungkin akan sempurna sekiranya kita tidak pergi ke
tempat-tempat yang menjadi daya tarikan kepada pengunjung. Terdapat beberapa
lokasi yang menjadi pilihan untuk dikunjungi di Seoul. Setiap tempat mempunyai
tarikan dan keunikan yang tersendiri dan mempunyai keistimewaan yang berbeza.
Antara tempat yang sering menjadi pilihan pelancong ialah:
1. Itaewon Street
Seperti yang saya ceritakan
sebelum ini, Itaewon Street merupakan
salah satu tempat yang mudah untuk mendapatkan makanan halal kerana ramai
komuniti Islam yang tinggal di sini. Banyak restoran dan kafe halal yang
diusahakan oleh warga asing terutamanya dari negara Timur Tengah. Di sini juga
terdapatnya Seoul Central Mosque yang
menjadi mercu tanda Itaewon. Persekitaran kawasan yang agak berbukit dengan
pemandangan yang menarik menjadikan Itaewon sebagai lokasi pilihan pelancong.Antara
restauran dan tempat makan yang ada di Itaewon ialah Bombaygrill, Mr Kebab, Kervan Turkish Restaurant, Siti Sarah, Eid
(Halal Korean Food), Salam Bakery dan Pasha Kebab Shop.
2. Myeongdong
Myeongdong juga dikenali sebagai syurga kosmetik. Dipenuhi
dengan kedai-kedai kosmetik, pakaian berjenama dan kedai-kedai eksesori. Tempat
ini merupakan tempat yang paling banyak dikunjungi dengan anggaran 150,000
orang setiap hari. Bagi pengunjung wanita ini merupakan tempat wajib pergi bagi
mendapatkan kosmetik dengan harga yang amat berpatutan dengan pelbagai pilihan
yang disediakan.
3. Dongdaemun
Salah satu tempat yang popular
dan menjadi pilihan pelancong di Seoul ialah Dongdaemun. Dianggarkan lebih 2000 kedai yang menjual pelbagai
barangan terdapat di sini dengan harga yang murah dan secara borong. Terdapat
banyak pusat membeli belah yang beroperasi sehingga 4.30 pagi. Antara pusat
beli belah yang terdapat di sini ialah Gwangjang
Market, Pyounghwa Fashion Town, Dongdaemun Shopping Complex, Doota, Migliore, Hello
apM, Fashion MallU:US dan Goodmorning City.
4. Namdaemun Market
Namdaemun Market merupakan salah satu pasar
yang tertua dan terbesar di Korea. Banyak kedai yang menjual pelbagai jenis barangan,
peralatan rumah dan juga makanan di sepanjang lorong di Namdaemun Market. Harga yang murah dan berpatutan menjadikan Namdaemun Market sebagai pilihan
destinasi membeli belah. Sekiranya anda boleh berbahasa Korea, kelebihan
mungkin memihak kepada anda untuk mendapatkan potongan harga bagi barang yang
ditawarkan.
5. Namsan Hanok Village
Namsan Hanok Village juga merupakan salah satu
tempat wajib yang menjadi pilihan pelancong. Binaan penuh dengan keunikan
tradisional Korea yang menampilkan gaya klasik pada zaman Dinasti Joseon.Di sini pengunjung boleh mempelajari budaya dengan
lebih dekat lagi seperti belajar kaligrafi Korea, membuat cenderamata Korea dan
mencuba Hanbok iaitu pakaian tradisional Korea.
6. Namsan Seoul Tower
Namsan Seoul Tower yang berketinggian 236.7 meter
merupakan 10 bangunan tertinggi di dunia. Menikmati permandangan Bandaraya
Seoul dari puncak Namsan Tower menyebabkan
ia menjadi salah satu tempat yang romantik di Seoul. Pengunjung boleh memilih untuk
menggunakan kereta kabel, bas mahupun berjalan kaki ke puncak Namsan. Kalau nak
adventure boleh cuba berjalan kaki ke
puncak pada sebelah malam dengan pemandangan kotaraya Seoul yang cantik.
7. Cheonggyecheon Stream
Cheonggycheon Stream merupakan
salah satu lokasi yang polular di Seoul. Bagi penduduk setempat, Cheonggecheon menjadi tempat untuk
beriadah dan melepaskan penat setelah seharian bekerja. Siapa sangka sungai
yang pernah tenggelam dan hilang dibumi Seoul suatu ketika dulu telah
dibangunkan semula dan menjadi antara daya tarikan utama di Seoul.
8. Gyeongbukgung Palace
Gyeongbukgung Palace dibina pada tahun 1395 dan
merupakan istana utama Denasti Jaseon selama
500 tahun. Berlatarbelakangkan gunung-ganang dan berada di tengah-tengah
Bandaraya Seoul menjadikannya sebagai antara tempat yang paling ramai pengunjung
pada setiap hari. Belakang Gyeongbukgung
Palace ialah Blue House iaitu
kediaman rasmi Presiden Korea Selatan.
9. Gwaghwamun Square
Gwanghwamun Square terletak di Sejong-ro dibina
pada tahun 2009. Ikon utama di sini ialah 2 patung sejarah iaitu ‘King Seajong The Great’ dan ‘Laksamana Yi Shun-Shin’. Banyak
aktiviti yang diadakan di dataran sepanjang 550 meter ini yang menjadikannya
sebagai pusat tumpuan pelancong. Dataran ini dikelilingi bangunan-bangunan
pejabat kerajaan dan swasta ditambah dengan pemandangan yang cantik hingga ke ‘Gyeongbukgung Palace’.
10. Pulau Nami
Pulau Nami antara tempat yang
paling dikenali dikalangan pelancong Malaysia malah dari serata dunia ke Korea.
Ini kerana pulau buatan ini menjadi lokasi dan pusat penggambaran drama Winter Sonata yang pernah menjadi
kegilaan ramai termasuk di Malaysia suatu ketika dahulu.
MAKANAN KOREA
Agak janggal jika kita
berkunjung ke Korea tetapi tidak merasai keenakan dan kenikmatan makanannya.
Maka jangan lepaskan peluang untuk merasai kepelbagaian makanan dan masakan
korea. Korea terkenal dengan makan traditionalnya dan saya sempat mencuba
beberapa jenis makanan yang akan saya kongsi bersama untuk tatapan bersama.
Jangan terkejut dengan masakan Korea yang agak pedas dari biasa jika dibandingkan
dengan masakan di Malaysia.
1. KIMCHI
Kimchi merupakan makanan khas
Korea yang dibuat daripada pelbagai jenis sayuran yang diperam dengan ramuan
khas dan biasanya mempunyai rasa pedas dan masam. Antara sayur yang biasa
digunakan ialah sawi, lobak atau timun. Sementara untuk ramuan yang digunakan
ialah cili, bawang besar, bawang putih, pes udang dan sos ikan khas. Kimchi
biasanya di buat dalam jumlah yang banyak kerana ianya tahan lama jika disimpan
dengan baik. Hampir semua tempat makan tidak kira di restoran besar, kecil
ataupun di rumah akan menyajikan kimchi sebagai hidangan kerana kimchi bukan
sekadar makanan traditional malah menjadi ikon terpenting dalam kulinari dan
kebudayaan Korea.
2. KIMBAP
Kimbap (Gimbab) juga merupakan
salah satu makanan khas Korea yang dibuat daripada nasi putih, dalam bahasa
Korea dipanggil Bap dan isinya berupa potongan ikan, daging, telur dan sayuran
yang digulung dengan rupai laut kering (seaweed) dalam bahasa Korea Gim.
Kemudian dipotong kecil untuk kesesuaiaan sekali makan (suap).Kebiasaannya satu
Kimbab boleh menjadi 6-8 potong. Sayuran yang biasa digunakan ialah timun,
bayam dan acar lobak dan nasinya biasa ditambah perasa seperti garam dan minyak
bijan.
3. BIBIMBAB
Satu lagi makanan Korea yang
namanya seakan-akan Kimbab ialah Bibimbab. Bibimbab merupakan nasi campur ala
Korea yang dibuat daripada nasi putih dan aneka lauk dan sayuran serta sos
sambal khas. Untuk sajian, Bibimbab disajikan di dalam mangkuk dan lauk dan
sayuran disusun di sebelah atas nasi agar kelihatan cantik dan menarik sebelum
digaul untuk dimakan. Biasanya Bibimbab disajikan di dalam mangkuk panas (hot
plate) dengan telur kuning diletakkan ditengah-tengah lauk atau sayuran.
4. JAPCHEA / CHAPCHEA
Japchea atau Chapchea adalah masakan Korea yang diperbuat daripada
mee tepung ubi (seakan beehoon) yang ditumis bersama aneka sayuran seperti
bayam, lobak merah atau cendawan kering yang dihiris hipis dan panjang dicampur
dengan kicap dan gula. Japchea biasa dihidangkan bersama cili dan biji bijan.
5. TTEOK
Tteok atau kuih beras merupakan
satu lagi makanan tradisi Korea yang di buat menggunakan tepung beras pulut
yang di masak dengan cara dikukus, direbus ataupun digoreng. Selain tepung
beras pulut, tepung beras biasa juga boleh digunakan dan biasanya dihidangkan
semasa perayaan. Inti Tteok juga pelbagai dan biasanya menggunakan kacang
hijau, kacang merah dan juga gula.
6. GODEUNGOO-GUI
Godeungoo-gui merupakan ikan
mackerel panggang yang diperap dengan garam, minyak sayuran dan juga sedikit
tepung (jika perlu). Godeungoo-gui
merupakan makanan yang popular di Korea dan menjadi satu kemestian untuk
mencuba bila berkunjung ke sana. Kebanyakan restoran di Korea menyajikan Godeungoo-gui kepada pengunjung dengan harga
yang berpatutan.
Tips: Sebagai seorang pelancong
mahupun traveler, kita perlu membuat perancangan yang rapi dan sebaik mungkin
bagi memastikan percutian yang kita buat dapat dinikmati dengan sebaik mungkin.
Bukan sahaja melancong tetapi mempelajari budaya yang kehidupan di tempat orang
lain sebagai pengalaman bersama.